Sunrays

Blogger Template by ThemeLib.com

Published by Abdul Halim Mohamad under on 10:10 AM

PETA KONSEP AJARAN SESAT

Published by Abdul Halim Mohamad under on 9:34 AM

AJARAN SESAT




PENGERTIAN AJARAN SESAT
• Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.

SEBAB-SEBAB KEMUNCULAN AJARAN SESAT
• Terdapat individu yang mempunyai kepentingan diri seperti untuk mendapatkan kedudukan, harta, dan sebagainya.
• Terdapat golongan yang ingin melemahkan ajaran Islam dengan memesongkan akidah orang Islam.

CIRI-CIRI AJARAN SESAT
• Mencemarkan kesucian Al-Ouran dan hadis seperti memansukh, mengubah, mempertikai, atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap Al-Quran dan hadis. Contohnya kumpulan Bahai beriktikad bahawa kitab sucinya Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi.
• Mengubah prinsip-prinsip asas dalam akidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai.
• Mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan, atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Oadiani.
• Menolak perkara yang qat'ie dalam Islam seperti menghapuskan jihad sebagaimana ajaran Qadiani dan Bahai.
• Mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti mengurangkan ibadat puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai.
• Mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tariqat Al-Mufarridiah.
• Mendakwa boleh melakukan perkara-perkara pelik yang bersangkutan dengan perkara-perkara ghaib seperti memanggil roh orang mati termasuk roh para nabi, wali, dan malaikat.
• Mendewa-dewakan sesuatu selain Allah S.W.T. seperti menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia di dalam doa atau jampiansebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.
Menolak hadis mutawatir atau hadis secara umum seperti golongan anti hadis.

KESAN BURUK MENGAMALKAN AJARAN SESAT

1. Kesan terhadap individu:
(a) akidah seseorang akan rosak. Orang Muslim yang mempercayai atau beramal dengan ajaran sesat boleh merosakkan akidah.Mereka wajib bertaubat dan kembali kepadaajaran Islam;
(b) masa terbuang. Masa banyak terbuang dengan aktiviti yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat;
(c) minda seseorang akan tertutup. Pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Tindakan dan kelakuan mereka menjadi tidak rasional dan fanatik;
(d) kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa.


2. Kesan terhadap masyarakat:
(a) keruntuhan institusi kekeluargaan. Keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka;
(b) perpaduan tergugat. Sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling.Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat;
(c) berlaku keganasan. Kepatuhan membutatuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan.

3. Kesan terhadap negara:
(a) negara akan mundur. Penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif dan membuang masa. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu;
(b) negara tidak stabil. Penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara.


CONTOH-CONTOH AJARAN SESAT

Qadiani

1. Pengasasnya ialah Mirza Ghulam Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 1908 Masihi.
2. Nama Qadiani ialah sempena tempat lahir pengasasnya di Qadian iaitu sebuah kampung di Daerah Gusdapur, India.
3. Ajaran ini mula muncul pada tahun 1889 Masihi.
4. Ajaran ini dibawa ke Malaysia oleh Maulana Muhammad Sadiq bin Barakatullah pada tahun 1949 Masihi.
5. Ciri-ciri kesesatan ajaran Qadiani ialah:
(a) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi, nabi, dan jelmaan Krisyna (tuhan mengikut kepercayaan Hindu);
(b) beriktikad bahawa Allah S.W.T. menurunkan kepada Mirza Ghulam Ahmad sebuah kitab suci yang bernama Al-Tazkirah;
(c) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad memiliki sejuta jenis mukjizat;
(d) menghapuskan jihad;
(e) mengubah ayat Al-Quran seperti ayat 6 surah Al-Saf, ayat 52 surah Al-Haj, dan ayat pertama surah Al-Qadr;
(f) mendakwa malaikat sebagai pancaindera Allah S.W.T;
(g) mengisytiharkan Qadian sebagai tanah suci dan tempat menunaikan haji;
(h) mendakwa bahawa Nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinegar, India;
(i) menghukum kafir selain penganut Qadiani.


Bahai

1. Bahai diasaskan oleh Husain Ali Al-Mazandani yang meninggal dunia pada tahun 1892 Masihi.
2. Bahai adalah nama sempena pengasasnya yang digelar sebagai Baha'ullah.
3. Ajaran Bahai adalah lanjutan kepada ajaran Al-Babiah yang diasaskan oleh Ali Muhammad Al-Syirazi yang meninggal dunia pada tahun 1850 Masihi.
4. Ajaran Bahai muncul di Iran pada tahun 1847 Masihi.
5. Ajaran Bahai mula tersebar di Malaysia pada tahun 1953 melalui Yan Kee Leong.
6. Ciri-ciri kesesatan ajaran Bahai ialah:
(a) beriktikad bahawa pengasasnya ialah jelmaan Allah S.W.T.;
(b) beriktikad bahawa semua agama adalah sama dan digabungkan dalam ajaran Bahai;
(c) beriktikad bahawa alam ini bersifat baqa'(kekal);
(d) beriktikad bahawa kitab suci mereka iaitu Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi;
(e) beriktikad bahawa Nabi Isa mati disalib;
(f) mengagungkan kod 19 hingga kononnya Al-Quran dipengaruhi oleh kod tersebut;
(g) menolak kewujudan mukjizat, malaikat, syurga, dan neraka;
(h) memansukhkan agama Islam;
(i) menganggap Acre di Palestin sebagai kiblat baru;
(j) mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti puasa 19 hari, solat sebanyak 9 rakaat dan dikerjakan 3 kali sehari, dan berwuduk dengan air mawar atau diganti dengan bacaaan Bismillahil Athar sebanyak lima kali; menghapuskan jihad.


Taslim

1. Taslim diasaskan oleh Haji Muhammad Syafie atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Muhammad Matahari.
2. Ajaran ini mula wujud pada tahun 1870-an di Kampung Seronok di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
3. Ajaran ini merupakan ajaran sesat yang paling tua di Malaysia. Ajaran ini juga mempunyai persamaan dengan kepercayaan Syiah Ismailiah Batiniah.

Ciri-ciri kesesatan ajaran Taslim ialah:
(a) beriktikad bahawa diri batin manusia ialah Allah dan diri zahir manusia ialah nur Muhammad;
(b) beriktikad bahawa alam ini bersifat qadim;
(c) mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut hawa nafsu;
(d) mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin;
(e) menolak kewujudan hari kiamat, syurga,dan neraka;
(f) solat secara niat tanpa rukun qauli(perkataan) dan fikli (perbuatan);
(g) menganggap Haji Muhammad Matahari sebagai pemimpin yang maksum.


LANGKAH-LANGKAH MENANGANI AJARAN SESAT

1. Melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar. Pengaruh ajaran sesat dapat ditangkis dengan kefahaman Islam yang sebenar melalui proses pembelajaran secara formal atau tidak formal.
2. Menyebarkan ajaran Islam. Ajaran Islam hendaklah sentiasa didedahkan kepada masyarakat menerusi pelbagai kaedah seperti media cetak, elektronik, ceramah, seminar, forum, dan simposium.
3. Kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang Penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh semua pihak akan dapat membendung kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat.
4. Program pemulihan akidah. Orang yang terlibat dengan ajaran sesat amat memerlukan kepada program pemulihan akidah, Di Malaysia terdapat beberapa buah pusat pemulihan akidah seperti Pusat Pemulihan Akidah Jelebu, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor.



Mohd Zaini Yahya. 2003. Pendidikan Islam Tingkatan 5
 

Lipsum

Followers