Sunrays

Blogger Template by ThemeLib.com

Published by Abdul Halim Mohamad under on 2:06 AM
www.geocities.com/ian_abang/lia.JPG

FAHAMAN YANG MENYEBABKAN SESAT

Ada pula sebahagian orang yang cuba berselindung dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur‘an Al-Karim bagi maksud dan tujuan yang salah dan bersifat maksiat yang bertentangan dengan kehendak ayat Al-Qur‘an itu sendiri. Seperti amalan sebahagian bomoh yang mendakwa orang alim yang mengubat pesakit secara berkurung dalam bilik tanpa orang lain. Sekalipun pesakit itu isteri orang yang kadang-kadang membawa kepada kelakuan sumbang. Tindakan seperti ini hanya bertopeng dengan ayat Al-Qur‘an bagi tujuan melindungi kesesatan yang berselaput di dalam gerakan atau amalan mereka. Sedangkan kerja-kerja sebenarnya adalah mungkar dan maksiat. Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengutuk golongan seperti ini dalam firmanNya yang tafsirnya :

“Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu”.

(Surah Al-Baqarah: 175)

Antara ciri-ciri yang boleh membawa kepada ajaran sesat itu juga ialah wujudnya budaya memuja dan mendewa-dewakan ketua kumpulan sehingga menganggapnya sebagai suci, wakil Tuhan dan wajib dipatuhi dalam segala perintah walaupun perintah itu bertentangan dengan akhlak, akidah dan syariat Islam. Ciri seperti ini menurut keyakinan mereka jika tidak dipatuhi, akan mendatangkan malapetaka dan kesusahan.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam telah mengajar kepada umatnya bahawa ketaatan mutlak itu hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya sahaja manakala ketaatan kepada makhluk adalah terbatas sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya :

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara-perkara maksiat terhadap Allah Azza wa Jalla”.

(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Antara jalan yang membolehkan kita mengenali sesuatu ajaran atau amalan itu dianggap sesat atau meyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar ialah, apabila ianya mengandungi salah satu atau kesemua kriteria-kriteria, seperti guru atau murid satu-satu ajaran atau tarekat tersebut membuat pengakuan menerima wahyu daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, guru sesuatu ajaran itu membuat pengakuan bahawa dia memegang kunci syurga, murid sesuatu ajaran itu mendakwa bahwa gurunya adalah nabi atau malaikat atau setanding dengannya, pengikut atau penganut ajaran itu mempercayai bahawa roh orang yang telah mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup, sekiranya roh itu baik maka ia menjelma ke dalam jasad orang yang baik dan begitulah sebaliknya, seseorang itu mendakwa dirinya sebagai wali.

Kriteria yang lain, pembawa ajaran itu mendakwa amalan dan tindakannya seperti zikir yang diajarkan kepada muridnya boleh mengagalkan kiamat, pengikut tarekat yang diamalkan oleh golongan mereka sahaja dijamin masuk syurga, mempercayai bahawa semua agama adalah sama, mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa mereka dengan membayar wang atau harta kepadanya, mempercayai bahawa ada nabi lain selepas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, meminta pertolongan daripada orang yang telah mati.

Begitu juga halnya dengan amalan atau ajaran yang memohon pertolongan guru sebagai perantara (wasilah) untuk sampai kepada Tuhan, mempercayai bahawa benda-benda tertentu seperti pungsu, batu, cincin dan sebagainya mempunyai hikmat tertentu, mempercayai bahawa benda-benda tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya boleh menyampaikan kepada Tuhan, menggambarkan wajah guru semasa beribadat atau berzikir, penyerahan rohani atau jasmani kepada guru samaada melalui cara nikah batin dan sebagainya, mengaku dirinya atau gurunya sebagai Nabi Isa ‘alaihissalam dan Imam Mahdi, mengaku atau meyakini dirinya atau pengikutnya sahaja yang layak memperolehi ma‘unah iaitu pertolongan langsung dari Allah sedangkan orang lain sama sekali tidak layak memperolehinya, mengaku bahawa Allah menjelma dalam dirinya, mendakwa atau mengaku dirinya sebagi wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada murid atau pengikutnya, memepercayai bahawa wahyu masih turun selepas wafatnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasalla dan lain-lain.

Sementara mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya, mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan lahir semula menjadi manusia istimewa seperti Imam Mahdi dan sebagainya, mengaku dan mempercayai adanya kemasukan roh orang yang telah mati ke dalam diri seseorang lain sebagaimana yang diamalkan menurun oleh bomoh atau tukang sihir, mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada di dalam dirinya dan dengan demikian didakwa pasti masuk syurga, juga adalah menjadi kriteria ajaran atau amalan sesat.

Selain kriteria di atas termasuklah tindakan yang berupa perbuatan atau percakapan yang seolah-olah memansukhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat yang lain, meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk (bertapa), mendakwa bahawa ibadat haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah tetapi boleh dikerjakan di tempat-tempat lain, mempercayai bahawa bacaan seseorang guru ke atas suatu benda seperti batu, gunung, bukit, kayu boleh memberi kesan baik dan buruk kepada mereka, mengagung-agungkan keturunan Yahudi sebagai kaum atau bangsa yang paling baik yang perlu dicontohi, menterjemahkan atau menafsirkan ayat-ayat Al-Qur‘an dengan lambang yang direka sendiri tetapi tidak ada dalam nas Al-Qur‘an atau hadis, umpamanya perkataan “Allah” diterjemahkan seperti berikut;

Alif : Diterjemahkan sebagai tubuh Muhammad.

Lam : (Yang Pertama) – Diterjemahkan sebagai nyawa Muhammad

Lam : (Yang Kedua) – Diterjemahkan sebagai hati Muhammad

Ha : Diterjemahkan sebagai rahsia Muhammad.

Berdasarkan ciri-ciri dan kriteria ajaran sesat yang dijelaskan di atas bahawa ajaran dan amalan yang diperlihatkan oleh gerakan atau pertubuhan tertentu itu membuktikan mereka tergolong dalam kumpulan ajaran yang salah dan sesat serta bertentangan engan akidah Islam yang sebenar.

Dari itu kita semestinya bersungguh-sungguh dan waspada dalam memelihara kesucian dan keutuhan akidah dan syariat Islam dengan mengelakkan diri dari terlibat dengan ajaran atau kumpulan yang dikaitkan dengan fahaman sesat. Janganlah terpengaruh dan terikut-ikut sesuatu ajaran yang kita tidak ada ilmu tentangnya ditakuti akan merugikan umat Islam dan dimurkai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana firmanNya yang tafsirnya :

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

(Surah Al-Isra’: 36)

Larangan Allah dalam ayat di atas adalah menjadi undang-undang yang meliputi segala soal dalam alam kehidupan ini. Kita tidak boleh memperkatakan atau melakukan sesuatu yang kita tidak mengetahuinya. Kita tidak boleh menjadi saksi melainkan terhadap perkara yang telah dilihat oleh mata, di dengar oleh telinga dan diketahui oleh hati. Dalam soal iktikad pula, kita tidak boleh mempercayainya melainkan dengan dalil yang membuktikan kebenarannya. Larangan Allah ini hendaklah dipatuhi kerana mata, hati dan telinga akan ditanya oleh Allah Ta‘ala pada hari Kiamat nanti tentang apa yang` telah dilakukannya.

Oleh yang demikian meningkatkan ilmu pengetahuan dan menyatupadukan umat Islam adalah menjadi suatu agenda yang sepatutnya diambil perhatian. Jika merasakan mempunyai kekaburan tentang sesuatu perkara adalah lebih selamat merujukkannya kepada pihak yang berotoriti khasnya pihak berkuasa agama yang sentiasa menunjukkan keprihatinan dalam memelihara kesucian akidah, syariat dan maruah umat Islam.

http://www.antara.co.id/arc/2007/5/7/bupati-lebak-larang-ajaran-islam-sejati/

0 comments:

Post a Comment

 

Lipsum

Followers