Sunrays

Blogger Template by ThemeLib.com

Published by Abdul Halim Mohamad under on 9:34 AM

AJARAN SESAT




PENGERTIAN AJARAN SESAT
• Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.

SEBAB-SEBAB KEMUNCULAN AJARAN SESAT
• Terdapat individu yang mempunyai kepentingan diri seperti untuk mendapatkan kedudukan, harta, dan sebagainya.
• Terdapat golongan yang ingin melemahkan ajaran Islam dengan memesongkan akidah orang Islam.

CIRI-CIRI AJARAN SESAT
• Mencemarkan kesucian Al-Ouran dan hadis seperti memansukh, mengubah, mempertikai, atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap Al-Quran dan hadis. Contohnya kumpulan Bahai beriktikad bahawa kitab sucinya Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi.
• Mengubah prinsip-prinsip asas dalam akidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai.
• Mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan, atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Oadiani.
• Menolak perkara yang qat'ie dalam Islam seperti menghapuskan jihad sebagaimana ajaran Qadiani dan Bahai.
• Mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti mengurangkan ibadat puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai.
• Mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tariqat Al-Mufarridiah.
• Mendakwa boleh melakukan perkara-perkara pelik yang bersangkutan dengan perkara-perkara ghaib seperti memanggil roh orang mati termasuk roh para nabi, wali, dan malaikat.
• Mendewa-dewakan sesuatu selain Allah S.W.T. seperti menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia di dalam doa atau jampiansebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.
Menolak hadis mutawatir atau hadis secara umum seperti golongan anti hadis.

KESAN BURUK MENGAMALKAN AJARAN SESAT

1. Kesan terhadap individu:
(a) akidah seseorang akan rosak. Orang Muslim yang mempercayai atau beramal dengan ajaran sesat boleh merosakkan akidah.Mereka wajib bertaubat dan kembali kepadaajaran Islam;
(b) masa terbuang. Masa banyak terbuang dengan aktiviti yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat;
(c) minda seseorang akan tertutup. Pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Tindakan dan kelakuan mereka menjadi tidak rasional dan fanatik;
(d) kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa.


2. Kesan terhadap masyarakat:
(a) keruntuhan institusi kekeluargaan. Keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka;
(b) perpaduan tergugat. Sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling.Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat;
(c) berlaku keganasan. Kepatuhan membutatuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan.

3. Kesan terhadap negara:
(a) negara akan mundur. Penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif dan membuang masa. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu;
(b) negara tidak stabil. Penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara.


CONTOH-CONTOH AJARAN SESAT

Qadiani

1. Pengasasnya ialah Mirza Ghulam Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 1908 Masihi.
2. Nama Qadiani ialah sempena tempat lahir pengasasnya di Qadian iaitu sebuah kampung di Daerah Gusdapur, India.
3. Ajaran ini mula muncul pada tahun 1889 Masihi.
4. Ajaran ini dibawa ke Malaysia oleh Maulana Muhammad Sadiq bin Barakatullah pada tahun 1949 Masihi.
5. Ciri-ciri kesesatan ajaran Qadiani ialah:
(a) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi, nabi, dan jelmaan Krisyna (tuhan mengikut kepercayaan Hindu);
(b) beriktikad bahawa Allah S.W.T. menurunkan kepada Mirza Ghulam Ahmad sebuah kitab suci yang bernama Al-Tazkirah;
(c) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad memiliki sejuta jenis mukjizat;
(d) menghapuskan jihad;
(e) mengubah ayat Al-Quran seperti ayat 6 surah Al-Saf, ayat 52 surah Al-Haj, dan ayat pertama surah Al-Qadr;
(f) mendakwa malaikat sebagai pancaindera Allah S.W.T;
(g) mengisytiharkan Qadian sebagai tanah suci dan tempat menunaikan haji;
(h) mendakwa bahawa Nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinegar, India;
(i) menghukum kafir selain penganut Qadiani.


Bahai

1. Bahai diasaskan oleh Husain Ali Al-Mazandani yang meninggal dunia pada tahun 1892 Masihi.
2. Bahai adalah nama sempena pengasasnya yang digelar sebagai Baha'ullah.
3. Ajaran Bahai adalah lanjutan kepada ajaran Al-Babiah yang diasaskan oleh Ali Muhammad Al-Syirazi yang meninggal dunia pada tahun 1850 Masihi.
4. Ajaran Bahai muncul di Iran pada tahun 1847 Masihi.
5. Ajaran Bahai mula tersebar di Malaysia pada tahun 1953 melalui Yan Kee Leong.
6. Ciri-ciri kesesatan ajaran Bahai ialah:
(a) beriktikad bahawa pengasasnya ialah jelmaan Allah S.W.T.;
(b) beriktikad bahawa semua agama adalah sama dan digabungkan dalam ajaran Bahai;
(c) beriktikad bahawa alam ini bersifat baqa'(kekal);
(d) beriktikad bahawa kitab suci mereka iaitu Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi;
(e) beriktikad bahawa Nabi Isa mati disalib;
(f) mengagungkan kod 19 hingga kononnya Al-Quran dipengaruhi oleh kod tersebut;
(g) menolak kewujudan mukjizat, malaikat, syurga, dan neraka;
(h) memansukhkan agama Islam;
(i) menganggap Acre di Palestin sebagai kiblat baru;
(j) mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti puasa 19 hari, solat sebanyak 9 rakaat dan dikerjakan 3 kali sehari, dan berwuduk dengan air mawar atau diganti dengan bacaaan Bismillahil Athar sebanyak lima kali; menghapuskan jihad.


Taslim

1. Taslim diasaskan oleh Haji Muhammad Syafie atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Muhammad Matahari.
2. Ajaran ini mula wujud pada tahun 1870-an di Kampung Seronok di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
3. Ajaran ini merupakan ajaran sesat yang paling tua di Malaysia. Ajaran ini juga mempunyai persamaan dengan kepercayaan Syiah Ismailiah Batiniah.

Ciri-ciri kesesatan ajaran Taslim ialah:
(a) beriktikad bahawa diri batin manusia ialah Allah dan diri zahir manusia ialah nur Muhammad;
(b) beriktikad bahawa alam ini bersifat qadim;
(c) mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut hawa nafsu;
(d) mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin;
(e) menolak kewujudan hari kiamat, syurga,dan neraka;
(f) solat secara niat tanpa rukun qauli(perkataan) dan fikli (perbuatan);
(g) menganggap Haji Muhammad Matahari sebagai pemimpin yang maksum.


LANGKAH-LANGKAH MENANGANI AJARAN SESAT

1. Melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar. Pengaruh ajaran sesat dapat ditangkis dengan kefahaman Islam yang sebenar melalui proses pembelajaran secara formal atau tidak formal.
2. Menyebarkan ajaran Islam. Ajaran Islam hendaklah sentiasa didedahkan kepada masyarakat menerusi pelbagai kaedah seperti media cetak, elektronik, ceramah, seminar, forum, dan simposium.
3. Kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang Penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh semua pihak akan dapat membendung kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat.
4. Program pemulihan akidah. Orang yang terlibat dengan ajaran sesat amat memerlukan kepada program pemulihan akidah, Di Malaysia terdapat beberapa buah pusat pemulihan akidah seperti Pusat Pemulihan Akidah Jelebu, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor.



Mohd Zaini Yahya. 2003. Pendidikan Islam Tingkatan 5

3 comments:

JARIULLAH said... @ January 25, 2009 at 10:53 AM

Siapa Islam?

Jika diperhalusi, semua masalah ini berpunca apabila ada pihak yang menokok tambah dan membuat definisi sendiri tentang status seorang itu Islam atau tidak tanpa merujuk Al Quran dan Hadis Nabi Besar Junjungan kita Muhammad saw. Dalam hadis Shahih Muslim, Kitabul Iman, Jibril yang datang kepada Rasululah saw dalam bentuk manusia bertanya kepada Baginda saw: “Hai Muhammad! Beritahukanlah kepadaku tentang Islam.” Rasulullah saw bersabda : “Islam, ialah hendaknya bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Utusan Allah, mendirikan solat, memberikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan beribadah haji ke Baitullah jika engkau mampu menempuh di jalannya. Orang itu (Jibril) berkata “Engkau benar!”. Justeru itu, tiada pihak atau mana-mana ulama sekalipun di dunia yang boleh menokok tambah kepada definisi Islam yang ditetapkan oleh Rasulullah saw. Ini bermakna walaupun umat Islam berbeza penafsiran dan pandangan mengenai sesuatu perkara di dalam Islam, tiada sesiapa atau perkumpulan ulama manapun yang boleh mengkafirkan seseorang atau satu perkumpulan Islam yang lain. Ini adalah kerana selagi golongan tersebut mengamalkan Rukun Islam yang disabdakan oleh Nabi Besar Junjungan kita Muhammad saw, mereka adalah ISLAM.

Ulama

Dalam seminar Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam yang diadakan pada tahun 2001, terdapat satu pandangan yang mampu memberikan gambaran mengenai keparahan sesetengah umat Islam di negara ini. Prof Dato’ Dr Abdul Rahman Embong mengatakan: “Umat Melayu Islam dituntut menerima apa yang dihujahkan oleh pendakwah dan ulama tanpa mempersoalkannya, maka dari segi pemikiran, masyarakat Melayu Islam hari demi hari terus menjadi penurut dan pematuh, suatu kelompok yang tidak berani berfikir di luar acuan dan parameter yang telah ditafsirkan, kerana jika mereka mereka berbuat demikian, mereka akan dipandang serong, dikenakan pelbagai label dan bahkan dipulau.”

Sikap terlalu bergantung ini yang menyebabkan umat Islam tidak dapat membezakan yang mana satu ajaran Islam dan yang mana satu ajaran buah fikiran ulama? Hal ini juga ditekan oleh YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Beliau menegaskan “Islam tidak akan berkembang luas dan dihormati jika Islam itu hanya terbatas kepada aktiviti-aktiviti berbentuk ritual. Memperjuangkan Islam semata-mata bertiangkan slogan dan retorik tidak membolehkan kita mencapai tahap kegemilangan. Malah amalan Islam daripada pemikiran cetek dan tafsiran sempit boleh menimbulkan kegelisahan bukan sahaja di kalangan bukan Islam malah di kalangan umat Islam jua. Tindak tanduk keterlaluan melaksanakan tugas penguatkuasaan adalah perbuatan tidak bijak yang lebih memberikan imej yang negatif terhadap Islam”. (Utusan Malaysia 8 November 2007).

Sekali lagi, siapa sebenarnya yang mencetek dan menyempitkan pemikiran umat Islam? Dalam hal ini, jawapan Nabi Muhammad saw merupakan jawapan yang paling sempurna. Baginda bersabda:

“Akan datang, satu zaman pada manusia di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. Ulamanya akan menjadi wujud paling buruk di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” ( Baihaqi )
Apa yang menakutkan kita ialah perkara ini sedang berlaku di hadapan mata. Lihatlah disekeliling kita, berapa ramai orang Islam yang mengaku Islam tetapi memekak telinga terhadap laungan azan yang memerintahkan mereka untuk solat, sedangkan ini Rukun Islam yang kedua penting. Malah nama-nama Islam terpampang di dada akhbar melakukan kes jenayah seperti membunuh, merompak dan merogol. Bermakna golongan ini tidak memperdulikan perintah Al Quran. Inilah salah satu maksud Al Quran hanya tinggal tulisan. Manakala masjid-masjid kosong dari petunjuk kerana sepatutnya masjid menjadi tempat meningkatkan hubungan rohani dengan Allah swt dan membolehkan umat Islam terselamat daripada melakukan dosa. Tetapi berdasarkan kes jenayah dan masalah sosial yang dihadapi umat Islam di negara ini membuktikan sebilangan besar umat Islam tidak merasakan kelazatan dan berkat rohani ini.

Sekali lagi, kaji dengan cermat sabda suci Nabi Muhammad saw ini. Baginda saw menerangkan hal ini berpunca daripada sebilangan ulama-ulama yang menabur fitnah dan akhirnya segala fitnah-fitnah itu akan kembali kepada mereka. Ini bermaksud jika sekumpulan ulama memfitnah sebuah perkumpulan lain sebagai sesat atau menghina Islam, sebenarnya para ulama tersebut yang sesat dan menghina Islam. Inilah rahsia disebalik sabda suci Nabi Muhammad saw dan yang lebih memilukan ulama seperti ini adalah wujud yang paling buruk di bawah kolong langit mengikut pandangan Rasulullah saw. Hadis ini juga memperlihatkan, nanti Allah swt yang akan memberi petunjuk kepada sesebuah masyarakat untuk membezakan kepalsuan dan kebenaran. Dengan syarat, masyarakat tersebut mesti berusaha dahulu melakukan selidikan dan kajian sendiri dan banyak berdoa kepada Allah swt untuk diberikan petunjuk dan bimbingan-Nya. Lebih menakutkan lagi, ada hadis yang memperlihatkan segelintir masyarakat dan ulama di dalam umat Islam yang diumpamakan oleh Baginda saw sebagai “kera” dan “babi”. Mengapa perumpamaan yang keras seperti ini disabdakan oleh Rasulullah saw?

“Akan ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727)

Berdasarkan hadis ini, terdapat segolongan dalam masyarakat Islam yang disabdakan oleh Baginda saw, yang tidak tahu apa-apa mengenai ilmu agama lalu merujuk kepada para ulama mereka. Apabila para ulama mereka mengeluarkan fatwa atau memberi pandangan maka golongan rakyat tersebut kemudiannya bertindak mengikut semua seruan ulamanya tanpa menyelidiki kebenaran fatwa tersebut. Sifat ini yang diumpamakan oleh Rasulullah saw sebagai “kera” iaitu suka meniru sahaja tanpa memahami apa yang diperlakukannya. Sifat babi yang kita ketahui adalah suka kepada kekotoran atau najis dan tidak tahu malu. Ini bermaksud golongan ini dan para ulama mereka bukan sahaja suka meniru atau menurut sahaja, malah tidak tahu malu untuk melakukan pembohongan dan fitnah. Ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw, mengapa golongan ini disabdakan seperti “babi” kerana mereka menabur fitnah-fitnah kepada orang-orang Islam yang lain sebagai sesat dan bukan Islam padahal golongan yang dikatakan sesat itu adalah orang Islam. Fitnah dan pembohongan ini yang menyebabkan Rasulullah saw terpaksa menggunakan perumpamaan yang sangat keras tersebut kerana Rasululah saw mengetahui fitnah dan pembohongan seperti ini akan menyebabkan berlakunya kerosakan. Lebih biadap lagi, mereka memakai dan melaungkan nama Allah swt (Yang Maha Pengasih dan Penyayang) semasa melakukan kerosakan tersebut. Padahal Allah swt tidak suka kepada kerosakan.

“Dan carilah apa yang dianugerahkan Allah kepadamu untuk akhirat, janganlah kamu melupakan bahagiannya di dunia dan berbuat baiklah, sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi.Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang berbuat kerosakan.” (28:77).

Namun begitu, tidak semua ulama adalah sejahat itu kerana Baginda saw juga pernah bersabda bahawa para ulama umatnya juga adalah setaraf dengan para Nabi Bani Israil. Daripada sabda ini memperlihatkan betapa tinggi tingkat kerohanian para ulama umat Nabi Muhammad saw yang menyamai nabi-nabi Bani Israil. Sekali lagi, perhatikan dan selidiki pesan suci Nabi Muhammad saw ini bahawa "Ulama dalam ummatku sama seperti nabi-nabi Bani Israil..." Kajilah rahsia di sebalik kekuatan yang tersembunyi di dalam sabda suci ini. Adalah menjadi hak Allah swt untuk menganugerahkan pangkat kerohanian ini dan manusia tiada kuasa untuk menahannya. Golongan ulama ini yang diumpamakan seperti para Nabi Bani Israil hanya penerus syariat kepada Nabi Muhammad saw. Mereka tidak membawa ajaran baru atau kitab suci baru kerana pintu syariat telah tertutup tetapi pintu kerohanian sentiasa terbuka luas. Jika umat Bani Israil dikurniakan anugerah pangkat kerohanian yang tinggi oleh Allah swt ke atas para Nabi mereka, sudah tentu umat Nabi Muhammad juga akan dianugerahkan pangkat kerohanian tersebut kerana Allah swt pasti menganugerahkan pangkat ini kepada umat Rasulullah saw yang benar-benar mematuhi dan mencontohi Baginda saw.

Sesat?

Berbalik kepada ulama yang jahat itu, kita perlu berhati-hati jika mendengar satu perkumpulan dikatakan sesat. Golongan ulama sering mengatakan bahawa mereka memerangi ajaran sesat dengan tindakan yang keras dan tegas kerana golongan ini boleh mengancam dan memecah-belahkan umat Islam. Sedangkan Allah swt memiliki pandangan yang lain, Allah swt tidak membenarkan manusia mencampuri soal keimanan kerana jika manusia yang mencampurinya maka lebih banyak kerosakan yang akan berlaku. Kebanyakan kita menyokong pandangan ulama ini kerana kita berfikir menggunakan emosi dan logik tetapi Allah swt yang Maha Mengetahui tidak membenarkannya. Allah swt memberi peringatan ini:

“Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agamanya dan mereka (terpecah) menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanya (terserah) kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat”(6:159).

Allah swt memberi petunjuk yang sangat jelas tentang masalah ini. Jika kita ingin menyeru seseorang atau perkumpulan ke jalan Allah swt mesti dengan hikmah dan tauladan yang baik. Perbincangan atau muzakarah adalah platform yang terbaik dan amat digalakkan oleh Allah swt tetapi secara sopan untuk membantah akidah mereka dan bukan dengan cara ugutan atau kekerasan. Pelajari dan hayati pesan-pesan suci Allah swt ini:

“ Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk” ( Surah An Nahl:125)

Berdasarkan ayat di atas, walau bagaimanapun sucinya niat kita, tetapi jika bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw, perkara itu bukan mendatangkan keberkatan tetapi akan mendatangkan kecelakaan kepada kita. Allah swt juga amat tegas memberi peringatan kepada umat manusia yang mahu menggunakan kekerasan untuk menyebarkan Islam. Allah swt berfirman:

“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang beriman semuanya? Dan tiada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah: dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.”(10:99-100).

Oleh itu, janganlah umat Islam bimbang kerana keimanan adalah satu kurnia daripada Allah swt dan manusia tidak diberikan hak untuk memaksa seorang itu untuk beriman apalagi menggunakan ugutan, penganiayaan, diskriminasi dan kekerasan. Golongan yang bersemangat mahu menggunakan kekerasan, mereka melakukan dua kesalahan yang besar iaitu pertama, mereka tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Kedua, mereka yang menghalangi penganut agama lain untuk jatuh cinta dengan Islam kerana mereka menonjolkan Islam sebagai agama keganasan. Kebiadapan seperti ini pasti mendatangkan kemurkaan Allah swt. Jelaslah, golongan ini sebenarnya pengacau, perosak dan pengganas yang mencemarkan kesucian Islam dan kemuliaan Nabi Muhammad saw.

Dilema Umat Islam

Tanpa disedari masalah ini yang memerangkap bangsa Palestin dan umat Islam. Sememangnya kita amat bersimpati dengan nasib bangsa Palestin. Kekejaman Zionis telah memperlihatkan sikap sebenar Amerika Syarikat yang mengamalkan dasar “double standard”. Mereka begitu cepat menyerang negara Islam jika negara Islam dituduh melakukan keganasan tetapi kegilaan dan kezaliman Israel hanya dibiarkan sahaja. Ini membuktikan Amerika Syarikat bukan polis dunia tetapi pengawal keselamatan yang diupah oleh Israel. Tetapi yang menghairankan ialah negara-negara Islam mengetahui kedajjalan Amerika Syarikat tetapi mereka tetap menjadi pengikut Dajjal. Mereka terpesona dengan syurga yang diberikan oleh dajjal, lihatlah mana-mana negara-negara Islam yang termakan budi dajjal, mereka akan menjadi budak suruhan atau kakitangan Dajjal dan mereka ibarat lembu dicucuk hidung.

Apa yang menakutkan ialah peperangan dan kerusuhan yang berlaku di negara-negara Islam adalah api yang sangat merbahaya. Umat Islam perlu menyedari api yang semakin merebak ini. Malangnya disebabkan sibuk dengan jihad peperangan menyebabkan mereka terlupa pesan-pesan agung Al Quran dan sabda-sabda suci Nabi Muhammad saw. Mereka tercari-cari dan menggunakan pelbagai kekuatan senjata untuk melawan Dajjal. Untuk membunuh Dajjal, tiada jalan lain kecuali mengikut nasihat Nabi Yang Paling Mulia dan Agung Muhammad Mustafa(Terpuji) saw dengan melancarkan jihad intelektual bukan dengan jihad senjata dan kekerasan.

“Jika ia (Dajjal) muncul dan aku ada ditengah-tengah kamu, aku akan mengalahkan dia dengan Dalil. Dan, apabila ia muncul, sedangkan aku tak ada di tengah-tengah kamu, hendaklah tiap-tiap orang berbantah dengan dia” (HR Ath Thabrani dalam Al Kabir, Ibnu Asakir dari Hazrat Abdur Rahman bin Jabir ibnu Nufair r.h dari ayahnya dan dari datuknya ; dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38790)

Kegagalan kita mengikut nasihat Baginda saw menyebabkan umat Islam sering dikalahkan oleh Dajjal. Buktinya, sudah berapa lama kita berjihad berperang dengan menggunakan senjata melawan kuasa-kuasa besar Dajjal ini? Selepas tragedi 11 September, ada orang Islam bergembira dengan serangan tersebut tetapi apakah peristiwa itu memberi kemenangan kepada Islam? Dajjal ini telah memerangkap masyarakat Islam, mereka mengapi-apikan orang Islam dan kemudian mereka menanti sahaja pejuang Islam melakukan keganasan atau penyerangan ke atas mereka. Serangan ini digunakan sebagai alasan untuk menyerang habis-habisan dan membunuh semua orang Islam. Nampaknya sebilangan para ulama dan pemimpin Islam masih tidak nampak perangkap ini dan mereka terus mengajar dan menanamkan konsep jihad peperangan. Mereka juga terpekik terlolong menyeru pengikutnya membenteras keburukan dengan cara kekerasan. Jika ditelusuri secara mendalam, nampaknya cerita-cerita Imam Mahdi yang dikatakan akan membunuh semua orang kafir di akhir zaman, adalah penyumbang kepada sikap membenci kepada orang kafir. Tanpa disedari cerita ini yang sudah ditanamkan sejak kecil lagi juga telah menumbuhkan sikap keras dan ganas. Kemudian disiram dengan ceramah-ceramah jihad mengangkat senjata. Keadaan ini yang menyuburkan militansi dan membuahkan pemikiran terorisme di kalangan segelintir umat Islam. Akhirnya, golongan ini terperangkap dengan melancarkan jihad yang jahat kerana percaya kepada ulamanya bahawa kematian mereka akan mendapat balasan syurga. Padahal tindakan mereka sebagai pengebom berani mati adalah sia-sia dan terkutuk kerana mereka membinasakan diri sendiri dan kadang kala membunuh orang yang tidak berdosa. Lebih memalukan lagi dalam konteks bangsa Palestin, mereka sesama sendiri tidak bersatu di antara FATAH dan HAMAS. Bagaimana mereka ingin meraih kejayaan dan kemenangan, perintah Al Quran tidak dipedulikannya. Semua ini adalah kerana umat Islam masih mencari pemimpin yang dihormati dan memiliki kewibawan yang suci !

Jihad Yang Sebenar

Oleh itu, hindarkanlah terlalu menanamkan jihad peperangan kepada anak-anak kita kerana pada masa ini sudah tidak amal saleh. Seorang tokoh Islam yang terkenal H.M Tahir Ahmad mengatakan Sword can win territories, but not hearts, force can bend heads but not minds. Perkataan ringkas ini cukup memadai untuk kita tidak bermimpi untuk berjihad dengan peperangan bersenjata dengan barat ini kerana ini adalah pekerjaan yang sia-sia.

Dalam kitab Mukasyafat Al Quluub, Abu Dzar Al Ghifari mengatakan Abu Bakar ra menanyakan kepada Rasulullah saw “apakah ada jihad selain daripada melawan kaum musyrikin?. Dijawab oleh Rasulullah saw “Ya tentu sahaja hai Abu Bakar! Allah swt mempunyai mujahid-mujahid di permukaan bumi yang lebih afdhal daripada para syahid yang memang tetap hidup dan makan minum juga. Allah swt pun mengajukan mereka di hadapan para malaikat dengan kebanggaan. Bagi mereka syurga itu akan diperhias begitu rupa seperti halnya Ummi Salma menghiasinya bagi Rasulullah. Sayyidina Abu Bakar menanyakan “ Ya Rasulullah ! mereka ini siapa? Dijawab oleh Rasulullah “Mereka itu adalah berdakwah, bertabligh, menyeru kepada kebaikan dan kebajikan, mencegah dari berbuat mungkar dan yang buruk, mereka ada yang mencintai dan membenci kerana Allah semata-mata”. Hadis ini membuktikan bahawa para pendakwah atau mubaligh Islam merupakan mujahid-mujahid Allah swt di atas muka bumi ini dan mereka lebih afdhal daripada para syahid kerana mereka menggunakan keindahan Al Quran dan akhlak sebagai senjata perjuangan mereka serta mengorbankan kehidupan, keluarga dan jiwa mereka untuk menyebarkan Islam di atas muka bumi Allah swt.

Jihad yang diperlukan sekarang ialah jihad dengan Al Quran, menghantar mubaligh Islam ke jantung-jantung ibu kota Dajjal dan mendirikan masjid sebagai kubu rohani serta mencetak dan menterjemahkan Al Quran ke dalam bahasa mereka. Selain itu, bidang penyiaran adalah instrumen yang paling berkesan untuk membawa suara dari langit memasuki setiap rumah di seluruh pelusuk dunia. Negara Islam yang kaya jangan hanya bijak menubuhkan badan penyiaran seperti Al Jazeera sahaja yang merupakan siaran televisyen satelit 24 jam. Mereka perlu mengadakan badan penyiaran seperti ini tetapi sarat dengan program rohani yang memperlihatkan keindahan Al Quran dan kebenaran Rasulullah saw. Setiap orang Islam harus pamirkan akhlak Rasulullah saw sebagai Pembawa Rahmat kepada orang-orang kafir ini. Tanamkan jihad ini kepada anak-anak kita dan galakkan mereka menjadi tokoh agama dan mubaligh kelas dunia, yang pakar ilmu Al Quran, Hadis dan menguasai Bahasa Arab, Bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain serta memiliki ilmu perbandingan agama yang tinggi.

Adakan seminar, bengkel dan perbincangan dengan mereka serta umat Islam perlu prihatin untuk ambil bahagian dalam bantuan-bantuan kemanusiaan. Para doktor, jururawat, jurutera, arkitek, guru, pakar IT dan sukarelawan lainnya harus aktif mengorbankan diri untuk berkhidmat di negara-negara yang ditimpa bencana dan negara miskin tanpa memperdulikan agama rasmi penduduk berkenaan. Dengan kata lain, seharusnya umat Melayu perlu memperkasakan jihadnya bukan setakat di dalam negara atau di sekitar Asia Tenggara sahaja tetapi harus melangkah jauh berwawasan bagi menyampaikan keindahan Islam iaitu ke negara-negara Barat, bekas jajahan komunis dan negara-negara Komunis, benua Amerika Selatan, Afrika dan kepulauan Pasifik. Insya Allah, jihad ini lebih diberkati dan amal soleh kerana tepat pada masa, tempat dan keadaan. Jihad ini lebih bermakna untuk membuka mata masyarakat barat yang sudah terpengaruh dengan propaganda pihak gereja dan media massa mereka yang sering menfitnah Islam sebagai agama keganasan.

Jihad ini akan menerbitkan matahari atau cahaya Islam di Barat untuk menerangi hati dan pemikiran mereka. Jihad ini yang akan mematahkan salib dengan membongkar kepalsuan ajaran agama Kristian, membunuh babi dan orang kafir iaitu mematikan sikap tidak tahu malu masyarakat Barat, yang hidup dengan bergelumang dengan najis dosa dan menghidupkan mereka kembali dengan ruh Islam yang bertakwa kepada Allah swt dan mencintai Rasulullah saw. Bayangkan jika bangsa Barat yang selama ini menjadi penguasa sains dan teknologi kemudian menjadi penganut Islam, sudah tentu akan wujud Dunia Baru yang lebih aman dan damai. Oleh itu, umat Islam perlu memperlihatkan Islam sebagai agama yang terakhir yang benar dan puncak segala agama. Mereka perlu mengadakan reformasi dan revolusi agung dalam diri yang berlandaskan kelembutan dan kasih sayang ajaran suci Nabi Muhammad saw. Konsep kasih sayang mampu menjadi magnet untuk menarik penganut-penganut agama lain dan mereka yang tidak beragama untuk sama-sama sujud mengakui keesaan Allah swt yang dibawa oleh Rasulullah saw. Apabila ini berlaku Dunia Baru akan mencapai matlamatnya dengan menggantikan segala ciptaan sains dan teknologi milik Dajjal yang mengancam, merosakkan, melalaikan dan menyesatkan masyarakat dunia akan digantikan dengan ciptaan hamba-hamba yang takut kepada Allah swt. Ciptaan dan rekaan mereka akan menghasilkan sains dan teknologi yang membawa kepada keamanan, kemakmuran dan keadilan. Zaman ini yang akan memperlihatkan Islam sebagai puncak agama dengan matinya jiwa-jiwa syaitan dan dihidupkan kembali menjadi jiwa-jiwa rohani yang bersih dan suci. Inilah kiamat yang akan muncul dan membinasakan segala keburukan manusia dan kerosakan agama.

Islam Membentuk Dunia Baru

Kiamat ini akan mengakhirkan zaman kegelapan rohani dan munculnya Dunia Baru versi Sang Pencipta Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Adil dan Maha Esa, Allah swt. Dia yang menurunkan ajaran ini dan dibawa oleh Nabi yang paling mulia dan sempurna iaitu Nabi Besar Junjungan kita Muhammad saw. Allah swt akan menghidupkan kembali firman-firman-Nya di dalam Al Quran yang disangkakan hanya tinggal tulisan sahaja untuk menyedarkan umat manusia. Allah swt juga akan membongkar kembali pesan-pesan suci Rasulullah saw yang telah lama tersorok untuk dijadikan panduan kepada masyarakat dunia. Semua ini perlu dilakukan kerana zaman ini adalah akhir zaman kepada zaman kemunduran Islam dan zaman kegelapan kerohanian manusia. Allah swt sedang mempersiapkan satu zaman baru untuk umat manusia. Ibarat sebuah bangunan baru yang ingin dibangunkan maka bangunan lama perlu dirobohkan. Begitulah keadaan dunia ini yang perlu dirobohkan kerana telah banyak kerosakkannya. Allah swt akan menggantikan dengan dunia baru yang lebih sesuai kepada semua umat manusia yang berbangsa-bangsa untuk hidup dengan aman dan patuh kepada Penciptanya iaitu Allah swt. Inilah Dunia Baru yang dinanti-nantikan oleh umat manusia tetapi telah terbiar di dalam khazanah Islam. Umat Islam perlu menggali dan menggilap Dunia Baru versi Islam yang mampu membimbing dunia ke arah kedamaian, kemakmuran dan kemajuan bersama antara penduduk dunia yang berbangsa-bangsa.

Walaupun Allah swt menciptakan manusia berbangsa-bangsa namun Allah swt menyiapkan ajaran Islam sebagai ajaran yang bersifat universal untuk menyatukan umat manusia. Agama Hindu, Buddha, Confucius, Taoisme, Kristian dan agama-agama samawi yang lain diciptakan oleh Allah swt hanya bersifat setempat dan sementara, mereka harus tunduk kepada syariat atau agama yang sempurna iaitu Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Sepertimana tahap-tahap perkembangan fizikal manusia, Allah swt mengembangkannya secara berperingkat-peringkat secara evolusi. Begitu juga dalam soal agama, Allah swt merencanakan perkembangan agama secara bertahap-tahap dan kemuncaknya adalah agama Islam yang menjadi pelengkap kepada kewujudan agama-agama lain. Dalam mencapai maksud itu, Allah swt pasti tidak akan membiarkan ajaran Islam terus ternoda.

Oleh itu, Allah swt mesti mewujudkan penerus syariat Nabi Muhammad saw seperti mana Nabi Isa a.s penerus syariat kepada ajaran Nabi Musa a.s. Allah swt tidak akan membiarkan Al Quran menerima nasib yang sama seperti Taurat dan Injil. Walaupun kitab suci itu berada di dalam genggaman orang Yahudi dan Kristian tetapi sudah tidak ada kekuatan untuk menyembuhkan penyakit rohani mereka malah kitab-kitab ini telah banyak ternoda dengan mengalami campurtangan manusia. Persamaan ini yang menyebabkan ada ulama-ulama terdahulu berkeyakinan bahwa kedatangan Imam Mahdi yang dijanjikan di akhir zaman adalah penerus syariat Nabi Muhammad saw yang menyamai dan menyerupai peranan Nabi Isa a.s sebagai penerus syariat Nabi Musa as. Persamaan ini yang dikatakan menyebabkan Rasulullah saw sering memisalkan atau menyebut Imam Mahdi sebagai Nabi Isa a.s, kerana pemahaman Baginda saw, sebutan Isa anak Maryam itu merujuk kepada kedatangan seorang utusan tuhan yang memikul tugas yang sama seperti Nabi Isa a.s, Rasulullah saw bersabda “Tidak syak lagi, hampir semua orang-orang yang hidup di antara kamu akan melihat dan bertemu dengan Isa anak Maryam. Dia juga menjadi Imam Mahdi” (Musnad Ahmad Hambal). Bagaimana mungkin binasa satu umat di mana aku berada pada permulaannya dan Al Masih pada bahagian akhirnya ( Hujajul Karamah , II / 473 )

Islam Agama Penyatuan

Yang pasti hanya Dunia Baru versi Al Quran sahaja yang dapat menyembuhkan dan menyelesaikan segala masalah dunia seperti kemiskinan, kerusuhan, permusuhan, peperangan, penyakit, bencana alam, pencemaran dan segala penyakit rohani manusia. Semua “neraka-neraka” ini akan dihindarkan darpada umat Islam jika mereka bersatu memegang erat-erat tali Allah. Dalam keadaan dunia Islam pada hari ini, jangan kata memegang sahaja, malah kita perlu mengikat diri kita dengan tali Allah, jika tidak kita akan terjerumus ke dalam neraka tersebut.

Berpeganglah erat-erat, semuanya dalam tali Allah (agama) dan janganlah berpecah-pecah; ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan dan Dia menyatukan hatimu dalam ikatan persaudaraan dan saat kamu berada ditepi jurang neraka. Dia menyelamatkan kamu. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya agar kamu mendapat petunjuk ( 3 : 103 ).

Petikan ayat Al Quran di atas (3:103) ini bukan hanya untuk masyarakat Jahiliyah di zaman Rasulullah saw sahaja. Semua umat Islam percaya bahawa Al Quran akan terus menjadi pedoman hingga hari kiamat. Oleh itu, Allah swt pasti akan memperlihatkan dan menghidupkan kembali ayat-ayat-Nya. Ayat Al Quran di atas mengatakan manusia berada di tepi jurang neraka. Dalam konteks hari ini, ianya amat sesuai merujuk kepada masyarakat dunia yang sedang berada di ambang peperangan yang dahsyat. Allah swt memberi ubat untuk penduduk dunia yang terpecah-pecah ini untuk mencari agama yang dapat menyelamatkan mereka, agama yang menjunjung tinggi kedamaian dan keamanan. Masyarakat dunia tiada pilihan lain kecuali menerima Islam, agama yang menawarkan penyatuan, persaudaraan dan perdamaian yang hakiki. Tiada agama lain selain Islam yang memiliki formula suci ini.

Dilema Imam Mahadi

Jelaslah satu persatu sabda-sabda suci Rasulullah saw dalam memberi peringatan, amaran dan nasihat menjadi kenyataan pada hari ini. Tetapi kebanyakan umat Islam di negara ini tidak mengambil berat tentang masalah agama. Mereka tidak faham erti dan tujuan kehidupan ini. Ingatlah firman-firman Allah swt di dalam Al Quran, bukan untuk umat di zaman Rasulullah saw sahaja. Malah di zaman Rasulullah saw, banyak ayat-ayat suci Al Quran yang turun menceritakan kisah-kisah para Nabi terdahulu. Apa iktibar di sebalik peristiwa para Nabi tersebut? Yang pasti, tiada utusan Allah swt yang diturunkan oleh Allah swt disambut dengan baik oleh umat manusia. Ini peringatan yang sering Allah swt tekankan. Kita membaca surah Al Fatihah dalam solat lima waktu sehari semalam. Antara rahsia suci dalam Surah tersebut ialah berdoa agar Allah swt menyelamatkan kita agar jangan menjadi golongan yang sesat dan ingkar. Siapa golongan yang sesat ialah golongan Kristian yang mempercayai Tuhan memiliki anak dan anak itu masih hidup di atas langit dan ingkar seperti golongan orang Yahudi sering yang menentang utusan Allah swt, sehingga Allah swt alihkan nikmat tersebut ke bangsa Arab. Nabi Muhammad saw, Nabi Yang Paling sempurna juga melalui pelbagai rintangan dan penderitaan dalam menyebarkan Islam.

Adalah tidak masuk akal jika Imam Mahdi yang akan diturunkan oleh Allah swt mampu memberi kemenangan yang cepat kepada Islam dan mampu membunuh raksasa Dajjal, semua orang kafir dan khinzir serta mematahkan salib dengan cepat. Walaupun Imam Mahdi itu adalah di utus oleh Allah swt sebagai utusan Allah swt tetapi kita tidak akan menerima sebarang penafsiran yang meletakkan ketinggian Imam Mahdi melebihi Nabi Muhammad saw. Lebih malang lagi, segelintir ulama mengatakan Imam Mahdi akan turun ketika hari menghampiri kiamat untuk memenangkan Islam. Ini bermaksud jihad yang dilancarkan oleh umat Islam pada hari ini, akan sia-sia kerana mengikut penafsiran ulama kemenangan Islam hanya akan diperolehi dengan kedatangan Imam Mahdi dan Nabi Isa as di akhir zaman. Ini bermakna Islam akan terus dibuli dan dipermain-mainkan oleh kuasa-kuasa Dajjal untuk tempoh yang lebih lama lagi. Nampaknya, sebilangan ulama keliru dengan bahasa-bahasa kiasan yang dipergunakan oleh Nabi Muhammad saw. Kita akan menolak penafsiran-penafsiran yang sebegini. Tiada sesiapa yang boleh menandingi kemuliaan, kewibawaan dan kehebatan Baginda saw kerana beliau adalah Khataman Nabiyyin, Nabi Yang Paling Mulia dan Sempurna serta Terakhir membawa syariat.

Peringatan Terakhir

Akhir sekali, kajilah rahsia hadis ini, berdoalah agar Allah swt membimbing kita menemui “senjata” untuk menyelamatkan umat Islam pada hari ini kerana peristiwa di dalam Al Quran akan sentiasa berulang-ulang dan janganlah mengulangi kesilapan dan keingkaran umat-umat yang lalu.

Riwayat Hazrat Hudzaifah. Kebiasaan orang-orang yang bertanya kepada Rasulullah saw dalam perkara-perkara yang baik tetapi saya bertanya kepada beliau tentang perkara keburukan. Saya takut kalau perkara itu (keburukan) menimpa diriku. Saya bertanya kepada baginda saw, Ya Rasulullah! Dahulu zaman Jahiliyah, kami sangat buruk sekali. Tetapi Allah swt membawa kebaikan kepada kami (yakni, diutusnya Baginda saw di tengah-tengah masyarakat Jahiliyah sebagai Rasul Allah swt) Ya Rasulullah ! Apakah sesudah kebaikan ini akan datang keburukan? Baginda saw menjawab: Ya! Saya bertanya lagi, Ya Rasulullah! Apakah sesudah keburukan ini akan datang lagi kebaikan? Baginda saw menjawab: Ya! Tetapi di dalam kebaikan itu ada “Dakhan” Saya bertanya, Ya Rasulullah! Apakha dakhan itu? Baginda saw menjawab. Orang-orang yang menjalankan sunnah yang bukan sunnahku, memberi petunjuk yang bukan petunjukku, kamu akan melihat amalan-amalan mereka dan kamu akan menolaknya.

Aku bertanya, apakah sesudah kebaikan itu akan datang lagi keburukan? Rasulullah saw bersabda: Ya! Akan ada orang –orang yang memanggil ke arah pintu neraka. Maka barangsiapa mengikut panggilan itu maka mereka akan menjadi ahli neraka. Aku berkata, Ya Rasulullah jelaskan kepada kami berkenaan dengan mereka itu. Rasulullah saw bersabda: Bahawa mereka adalah dari golongan kita (umat Islam sendiri). Mereka akan bertutur seperti kita katakan. Aku bertanya, Ya Rasulullah! Perintahkan kepadaku, seandainya perkara-perkara ini terjadi di dalam kehidupanku. Baginda saw bersabda: Bergabunglah engkau dengan orang-orang Islam yang mempunyai JEMAAT dan mempunyai IMAM. Saya berkata lagi, seandainya saya mendapati tiada orang-orang yang mempunyai JEMAAT dan IMAM, apakah yang saya harus lakukan? Baginda saw bersabda: Asingkan dirimu dari semua firqah-firqah mereka, walaupun kamu harus memakan akar-akar kayu, sehingga mati datang menjemput kamu.Dan kamu tetap dalam keadaan demikian ( Misykat Bab Fitnah dan Bukhari Bab Tanda-Tanda Kenabian Dalam Islam)

Nina_Kitty said... @ January 31, 2012 at 7:52 AM

Thanks for the help since I needed information on ajaran sesat

SALAHUDDIN said... @ December 15, 2013 at 7:41 AM

http://barahinahmadi.blogspot.com/

Post a Comment

 

Lipsum

Followers